KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya selesai merakam keterangan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkaitan siasatan isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) hari ini.
Jelasnya proses rakam keterangan Ahli Parlimen Bagan itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa polis akan merakam keterangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman membabitkan parti DAP, baru-baru ini.
“Kita juga akan merakam kenyataan Abdul Hadi di pejabatnya di Kuala Lumpur, esok,” katanya.
Razarudin pada Isnin lalu memaklumkan polis menyiasat Abdul Hadi susulan satu hantaran di akaun Facebook bertajuk Minda Presiden PAS, pada Sabtu lalu yang mengulas mengenai parti DAP.
Menurut Razarudin, hasil siasatan polis mendapati hantaran berkenaan mengandungi kenyataan yang berunsur perkauman yang boleh mencetus kegusaran awam.
Kenyataannya itu turut dipetik dan dilaporkan akhar New Straits Times (NST).
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, Razarudin dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini memaklumkan sebanyak 61 kertas siasatan dibuka setakat ini membabitkan isu 3R sejak 27 Mac lalu.
Kertas siasatan berkaitan kes 3R yang disiasat itu, katanya membabitkan pelbagai golongan termasuk ahli politik, orang awam dan ahli badan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Razarudin, selain Abdul Hadi, Guang Eng, antara tokoh politik yang sedang disiasat berkaitan isu 3R adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.