Tumpuan :
Nasional

Selepas seminggu, kehilangan cikgu Hamdan masih misteri

Cikgu Hamdan dilaporkan hilang selepas keluar ke SK Jementah sejak Isnin minggu lalu. FOTO NSTP

SEGAMAT: Kehilangan guru lelaki yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Jementah, masih menimbulkan misteri sehingga kini.

Ini kerana sejak kehilangannya Isnin minggu lalu, polis dan penduduk kampung tidak menemui sebarang petunjuk meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan Hamdan Hamzah, 46.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata usaha mencari guru terbabit juga dilakukan melalui kenalannya namun sehingga kini belum ada perkembangan diperolehi.

“Sehingga ini, polis belum menerima sebarang perkembangan dan kita cuba mengesan cikgu Hamdan daripada rakan yang mungkin tahu keberadaannya.

“Pada masa kini, polis sedang mengumpul maklumat dan akan menyiasat sekiranya kehilangannya ada kaitan dengan masalah peribadi dihadapinya,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, jirannya, Junaidah Samsudin, 60, berkata dia dan penduduk di Felda Kemelah hanya mengetahui kehilangan cikgu Hamdan selepas tular di media sosial.

Menurutnya, sehari sebelum hilang, ada kenduri doa selamat di rumah cikgu Hamdan.

“Pada hari terbabit, saya nampak motosikal dia di rumah. Tiba-tiba kami dapat tahu dia hilang sampai hari ini.

“Dia pernah beritahu malas hendak mengajar tapi dia pergi juga. Ada guru besar dan guru lain pun tanya kenapa dia tak sampai lagi (ke sekolah),” katanya.

Sementara itu, Junaidah berkata, sejak kehilangannya penduduk Felda Kemelah turut membantu mencarinya termasuk menyusuri jalan yang kebiasaan dilalui untuk ke sekolah.

Selain itu, katanya, kariah masjid juga mengadakan solat hajat agar dipermudahkan segala urusan pencariannya.

Hamdan dilaporkan hilang selepas keluar rumah dengan menunggang motosikal untuk ke tempat kerja di SK Jementah, Isnin minggu lalu.

Sebelum kehilangannya, dia dilaporkan keluar rumah pada jam 5.15 pagi untuk ke sekolahnya namun dia tidak pulang sehingga kini.

Kehilangannya itu disedari ahli keluarga sebelum mereka membuat laporan polis di Balai Polis Tenang, Rabu lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini