IPOH: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, bahawa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dalam keadaan nazak dan meronta-ronta selepas motosikal ditunggang mangsa dilanggar Perodua Ativa putih, Disember tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke-12 iaitu remaja lelaki berkata, selepas pelanggaran itu, dia melihat seorang pemandu lelaki turun dari kenderaan terbabit lalu datang ke arah mangsa dan menyuruhnya mengangkat Zaharif.
Menurutnya, semasa berada di tempat pelanggaran, dia melihat Zaharif baring meniarap dengan muka ke atas jalan serta ada kecederaan pada peha dan siku mangsa.
“Pemandu Ativa yang berpakaian baju T berwarna putih dan seluar tiga suku berwarna hitam, datang ke arah Zaharif jatuh dan memarahi saya, “Apa pandang saya! Kau tengok apa? Kau tolong aku angkat dia, aku polis!” dalam nada yang kuat.
“Saya berasa takut dan terkejut selepas mendengar kata-kata itu. Selepas itu, ada seorang orang awam yang memakai topi keledar mengangkat Zaharif sebelah kakinya, manakala pemandu Ativa itu mengangkat di bahagian ketiaknya.
“Saya cuba menolong dengan memapah di bahagian belakang tengah badan Zaharif, namun hanya berjalan sampai tengah jalan sebelum melepaskan kerana berasa amat takut melihat keadaan Zaharif yang nazak,” katanya ketika membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.
Pada hari kelapan prosiding perbicaraan kes pegawai kanan polis didakwa membunuh Zaharif, saksi itu memberitahu dia sempat melihat pemandu Perodua Ativa dan orang awam yang mengangkat Zaharif meletakkan mangsa di bucu simpang Jalan Taman Jati 1.
Dia kemudiannya berpaling dan berlari ke Mitsubishi Triton milik ibunya di bahu Jalan Pekeliling Meru Indah, dan ketika itu dia melihat ibunya yang berada di luar kenderaan sedang menelefon ambulans.
“Saya pergi semula ke arah tempat Zaharif dibaringkan di bucu simpang Jalan Taman Jati 1 sebab nak tengok apa yang terjadi. Pada masa ini, sudah ramai orang termasuk budak sekolah dan orang awam berkerumun untuk melihat apa yang terjadi.
“Saya ada nampak seorang pak cik yang memakai baju berwarna merah, peluk badan Zaharif sambil mengatakan “Zaharif, ni abah ni….”
“Saya dapat lihat Zaharif meronta-ronta ke kiri dan ke kanan akibat kesakitan dan cuba bangun, namun ditahan oleh pak cik tersebut. Saya juga ada nampak seorang jururawat yang berpakaian pakaian seragam jururawat sedang cuba menenangkan Zaharif,” katanya.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwaan Raya Afzainizam Abdul Aziz, saksi itu berkata, dia mengenali pak cik berkenaan sebagai bapa kepada Zaharif kerana selalu ke restoran milik bapanya, bagaimanapun tidak mengenali jururawat terbabit.
Ditanya tentang pemandu Perodua Ativa ada menunjukkan kad kuasa ketika memperkenalkan dirinya sebagai polis di lokasi perlanggaran, saksi berkata, lelaki itu langsung tidak menunjukkan sebarang pengenalan diri kepadanya.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qi,n Hui manakala tertuduh diwakili peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Prosiding perbicaraan ditangguhkan sebentar dan akan disambung petang ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.