KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam dalam lawatan rasminya ke Riyadh, Arab Saudi, minggu hadapan.
Perdana Menteri menerusi kenyataan di Facebooknya, berkata sidang kemuncak berkenaan akan membincangkan situasi terkini di Palestin dan Lubnan serta perkembangan serantau.
Anwar dijadualkan menghadiri persidangan itu selepas selesai mengadakan lawatan rasmi ke Kaherah, Mesir atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.
“Usai rencana di Kaherah dan Riyadh, saya akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 di Lima, Peru.
“Seterusnya, delegasi Malaysia akan ke Rio de Janeiro, Brazil bagi memenuhi undangan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.
“Doakan perjalanan saya dan delegasi Malaysia dipermudah serta semua pertemuan yang akan berlangsung dapat membawa hasil besar kepada rakyat dan negara, insya-Allah,” kata Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tambun itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.