Oleh Amira Suraini Che Mohamad
KANGAR: Perlis akan membenarkan semula tangkapan siput retak seribu di perairan negeri itu selepas ianya diharamkan sejak tahun 80-an.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Razali Saad berkata, kerajaan negeri bersetuju mengeluarkan permit tangkapannya namun bersyarat agar sumber laut dapat dimanfaatkan dan dinikmati seluruh nelayan di Perlis.
“Pengeluaran permit tangkapan siput retak seribu akan diberikan terhad kepada nelayan berlesen dengan 20 kuota pengeluaran permit di pangkalan sedia ada.
“Selain itu, kawasan operasi tangkapan bagi Zon A hanya pada jarak 1 hingga 5 batu nautika, manakala muatan sampan dan kapasiti enjin akan ditentukan oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Nelayan mestilah menggunakan tangguk bergalah dengan panjang dihadkan 5 meter dan waktu pengambilan siput dibenarkan bermula 6 pagi sehingga 6 petang sahaja,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis di sidang DUN Perlis hari ini.
Tambah Razali, kawasan perairan Perlis dianggap sebagai ‘perairan emas’ kerana itu ia menjadi mangsa pencerobohan nelayan luar yang datang mengaut pelbagai sumber laut.
“Melihat pada laporan Institut Perikanan Penyelidikan Kampung Acheh (FRIKA), taburan populasi siput retak seribu berada di 19 lokasi perairan Perlis dengan anggaran berat 493 tan matrik.
“Dengan harga pantai RM4 bagi satu kilogram siput retak seribu, nilainya dianggarkan mencecah RM1.9juta,” tambahnya lagi.
ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah sebelum itu mempersoal tindakan kerajaan negeri berhubung isu pencerobohan nelayan dari Kedah yang menangguk siput retak seribu walaupun ianya diharamkan di Perlis.
Abu Bakar turut mendedahkan setiap hari kira-kira 200 nelayan dan pengusaha bot telah menceroboh perairan Perlis dengan membawa pulangan hasil yang begitu banyak.