Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Selepas 20 tahun kami bersatu sebagai satu keluarga, anak-anak gembira

 

KUALA LUMPUR: “Selepas lebih 20 tahun, kami disatukan semula dalam keluarga. Walaupun dia bekas suami saya, tapi kami beraya bersama dan saya bawa dia balik ke kampung mentua saya.

Demikian luahan pelakon Didie Alias yang bersyukur kerana keluarganya berkesempatan berkumpul semula dan meraikan Aidilfitri bersama.

“Kami dalam keluarga panggilnya ‘baby’ sebab kami menjaganya seperti anak kecil. Dia memang sangat penyayang dengan anak-anaknya. Saya rasa gembira sangat kerana dua tiga tahun kebelakangan ini, kami dapat bersatu semula dan macam satu keluarga yang bahagia,” katanya.

Didie, 51 tahun pernah mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Ridzuan Hashim pada tahun 1991 dan dikurniakan lima orang anak, namun berpisah pada tahun 2002.

Jenazah Ridzuan Hashim akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua dijangka selepas maghrib hari ini.

Menurut Didie, ahli keluarga maklum dengan penyakit jantung yang yang dialami Ridzuan sejak tiga tahun lalu.

“Kami semua dalam keluarga memang tahu bahawa arwah menghidap sakit jantung sejak tiga tahun lalu. Tapi, dia nak rahsiakan sebab takut tak dapat tawaran kerja.

“Tiga tahun lalu, dia pernah diserang serangan jantung selepas bermain bola. Jadi, apabila dia sesak nafas, dia dibawa ke hospital dan sejak itulah kami tahu dia sakit jantung.

“Dia tinggal bersendirian, jadi kami anak beranak berbincang untuk anak-anak menjaganya. Jadi, sejak tahun lalu, anak saya Muhammad Dhanial menjaganya di rumah dan menemaninya. Kami takut benda-benda tak diingini berlaku bila dia bersendirian,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan Dhanial, 29, Didie berkata, dia adalah anak yang rapat dengan ayahnya dan terkilan kerana akan mendirikan rumah tangga 20 Mei ini tanpa kehadiran ayahnya.

“Dhanial akan bernikah pada 20 Mei nanti. Jadi, itu yang membuatkan rasa terkilan dan sangat sedih. Ayahnya beritahu, dia akan ikut ke Tawau untuk majlis pernikahan.

“Dhanial pun dah siapkan tiket penerbangan dan baju untuk ayahnya. Memang dia anak lelaki yang rapat dengan ayahnya. Memang ada rasa ralat sedikit sebab tak dapat raikan hari bahagia dengan ayahnya,” katanya.

Loading...
Terkini