Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Adik perempuan kepada bekas penyerang Harimau Malaya, Hadin Azman yang dilaporkan hilang sejak 12 hari lalu sudah ditemui dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, Nur Khalisya, 16, ditemui di rumah keluarga angkatnya di Jalan Sikamat Lama, Seremban Putra, Negeri Sembilan.
“Orang Hilang (OH) telah ditemui dalam keadaan selamat pada 8/3/2025 di rumah keluarga angkatnya di Jalan Sikamat Lama, Seremban Putra, Negeri Sembilan. Maklumat lanjut akan menyusul,” katanya menerusi kenyataan ringkas.
Nur Khalisya dikatakan hilang ketika pulang dari sekolahnya di Jalan Peel, 25 Februari lalu.
Laporan kehilangan remaja perempuan itu dibuat ibunya, pada jam 11.29 malam pada hari sama yang memaklumkan menghantar anaknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di Jalan Peel pada jam 7 pagi.
Wanita itu, katanya kemudian datang semula ke sekolah pada jam 4 petang untuk mengambil anaknya pulang kerana remaja itu memaklumkan mempunyai kelas tarian.
“Bagaimanapun selepas menunggu hampir 40 minit anaknya tidak ada dan pengawal keselamatan sekolah memaklumkan tiada lagi pelajar berada di sekolah pada waktu itu.
“Pengadu kemudian menghubungi rakan sekelas anaknya dan dimaklumkan bahawa anaknya telah pulang ke rumah sendirian dengan berjalan kaki jam 5 petang dari kawasan Taman Permainan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana Jalan Peel.
“Sehingga laporan polis dibuat anak pengadu tidak dapat dijumpai,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.