PUTRAJAYA: Selebriti lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah disyaki ganja di Cyberjaya, pada 14 Disember lalu, disambung reman empat hari.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tempoh reman terhadap suspek berusia 41 tahun itu akan bermula hari ini sehingga Ahad.
“Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan selepas permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret Sepang.
“Polis juga akan merujuk kertas siasatan kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini, untuk arahan lanjut,” katanya kepada media.
Media sebelum ini melaporkan seorang selebriti lelaki ditahan di kediamannya di kawasan rumah teres di Cyberjaya di sini, bersama dua peket lut sinar disyaki ganja.
Dalam serbuan jam 3.10 petang, 14 Disember lalu, polis menemukan dua peket lutsinar yang setiap satunya mengandungi leraian disyaki daun ganja anggaran berat keseluruhan 60.3 gram.
Norhizam dilaporkan berkata, ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah tetrahydrocannabinol (THC).
Beliau juga dilaporkan berkata, siasatan mendapati selebriti itu sudah lapan tahun menagih.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.