comscore
Tumpuan :
Nasional

Selebriti hentam tindakan netizen yang menyokong ‘Abang Bas’

Oleh: Nurin Aisha Azizi

PETALING JAYA: Rata-rata selebriti tempatan menghentam tindakan segelintir warganet yang menyokong kandungan yang dimuat naik seorang pemandu bas sekolah atau ‘Abang Bas’ yang tular di aplikasi TikTok

Antara selebriti yang lantang bersuara mengenai kes ini termasuklah pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad.

Melalui hantaran di Instagram, Uyaina berkata tindakan lelaki itu agak aneh dengan meletakkan tajuk ‘crush’ dan ‘kesayangan’ pada setiap kandungannya.

“Orang jahat boleh target atau ikuti mereka. Pelbagai jenayah lain boleh terjadi berpunca daripada niat untuk hanya merakam sahaja”, ujarnya.

FOTO: uyainaarshad / Instagram

Berkongsi pendapat sama, pelakon Diana Danielle turut menegaskan tingkah laku lelaki itu adalah satu kesalahan.

Menerusi hantarannya di Instagram, Diana mempersoalkan tindakan ibu bapa kanak-kanak yang didakwa memberi kebenaran kepada lelaki itu untuk merakam wajah anak mereka.

Tambahnya, sebagai seorang ibu yang mempunyai dua cahaya mata, Diana bersyukur kerana pihak polis mengambil tindakan terhadap kes ini.

“Kalau ibu bapa memberi kebenaran sekali pun, tetapi ada undang-undang ketat yang melindungi hak kanak-kanak. Saya bersyukur wujudnya undang-undang ini”, tegasnya.

FOTO: dianadanielleb/ Instagram

Dalam pada itu, pelakon dan pengacara Nazrudin Rahman juga mengecam sekeras-kerasnya komen segelintir pihak yang memuji aksi dipamerkan pemandu bas itu.

Lebih menakutkan apabila ada komen tersebut seolah-olah menyokong perasaan cinta terhadap kanak-kanak yang dirakam.

“Buat wanita bujang yang komen nak naik bas sekali, sila diam. Jika tidak ada anak dan tak perlu tanggung risiko, jangan tunjuk perangai gatal di media sosial”, katanya menerusi hantaran di laman sosial X.

FOTO: NazrudinRahman / X

Tegasnya, komen berunsurkan lucah itu perlu dipantau agar tiada kanak-kanak menjadi mangsa gangguan seksual.

Reaksi orang ramai, khususnya selebriti tempatan ini menunjukkan keprihatinan serta kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak di negara ini.

Terdahulu, polis menahan reman pemandu bas yang memuat naik rakaman video penumpang bas yang dipercayai murid sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’, di Simpang Renggam, pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, suspek 24 tahun direman selama 5 hari hingga 10 September.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini