KLANG: Kerajaan Selangor menubuhkan Pasukan Petugas Khas (task force) membabitkan pelbagai agensi termasuk peringkat Persekutuan bagi menangani isu banjir.
Keterangkuman itu dilaksanakan bagi memastikan pelan dan usaha mitigasi bencana banjir dilakukan secara menyeluruh.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, turut menekankan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) supaya tidak berlengah dalam menggerakkan usaha berkaitan projek pendalaman sungai atau pelebaran saliran serta kolam takungan dwifungsi.
Beliau berkata, kira-kira RM1.774 bilion diperuntukkan dengan pecahan RM574.5 juta di daerah Klang bagi Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Klang; Seksyen 25, Shah Alam; Sungai Kapar; Sungai Rasah; Pekan Meru, Sungai Rasau.
Selain itu, katanya, RM1.2 billion bagi daerah Petaling iaitu Rancangan Tebatan Banjir Sungai Damansara dan Kolam Takungan Dwifungsi bagi Sungai Klang serta Sungai Rasau.
“Pentadbiran ini menerima dengan hati yang terbuka teguran Tuanku yang sebenarnya menzahirkan betapa prihatinnya Tuanku terhadap nasib rakyat dan negeri Darul Ehsan supaya tidak mengalami nasib seperti di negeri-negeri lain.
“Patik menyatakan komitmen untuk mempercepatkan pelaksanaan usaha-usaha ini bagi mengelak kelewatan yang sebelum ini sering kali berlaku akibat budaya bekerja dalam silo di peringkat agensi,” katanya.
Minggu lalu, Sultan Selangor menitahkan kerajaan negeri bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah banjir, termasuk merangka satu pelan dan membentuk pasukan khas.
Baginda turut bertitah mahu melihat hasil dalam masa terdekat dan tidak mahu mendengar apa-apa alasan jika gagal mengatasi masalah yang melanda.
Amirudin berkata, Selangor menjadi negeri pertama melancarkan Dasar Perubahan Iklim bagi menggariskan usaha jangka pendek dan panjang.
Katanya, kerajaan negeri akan lebih cekal dan tangkas mendepani perubahan iklim bersama Kerajaan Persekutuan yang turut menyatakan komitmen mengenainya.
“Ini bagi memastikan perihal seperti pengurusan tanah melibatkan lebuh raya atau jajaran rel sedia ada tidak lagi menjadi penghalang kepada usaha tebatan banjir.
“Seterusnya, supaya rakyat Tuanku dapat hidup bukan sahaja di negeri yang paling maju di Malaysia tetapi negeri yang paling berdaya huni,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.