comscore
Tumpuan :
Nasional

Selangor tambah baik ban, pantau ‘hotspot’ banjir

SHAH ALAM: Penambahbaikan projek ban dan pemantauan kawasan hotspot atau lokasi kerap dilanda banjir antara persediaan awal kerajaan Selangor menjelang fenomena air pasang besar yang diramal melanda tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Pengurusan Bencana negeri, Mohd Najwan Halimi, berkata persediaan dibuat awal termasuk melaksanakan program simulasi.

“Minggu lalu kita mengadakan latihan dan simulasi membabitkan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sembilan pejabat daerah untuk mendapatkan teknik terbaik dalam persiapan.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini turut memutuskan untuk terus memantau dan menambah baik projek ban serta mitigasi banjir yang telah dan sedang dilaksanakan.

“Kawasan ban yang perlu diberi tumpuan ialah Kuala Selangor yang baru-baru ini ada isu ban pecah menyebabkan air naik.

“Kita dalam proses membaik pulih ban terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2024 (HSN2024) peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.

Mohd Najwan berkata, kawasan kerap dilanda banjir turut dipantau dan pasukan keselamatan di peringkat PBT turut bersedia.

“Baru-baru ini, banjir kilat melanda di Kuala Selangor, Petaling dan Gombak. Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkaitan sudah selesai dan ditutup, tiada kemalangan jiwa berlaku,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini