Tumpuan :
Nasional

Selangor peruntuk RM34.27 juta untuk pembangunan tebatan banjir

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – Foto fail NSTP

SHAH ALAM: Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan sebanyak RM34.27 juta dalam memastikan keberkesanan pengurusan pembangunan projek tebatan banjir di negeri ini tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah berkenaan diperuntukkan mengikut lembangan sungai utama yang terlibat iaitu Lembangan Sungai Klang (RM18.7 juta),Lembangan Sungai Langat (RM9.3 juta), Lembangan Sungai Selangor (RM3.2 juta) juga Lembangan Sungai Buloh dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

Menurut beliau, peruntukan itu turut membabitkan beberapa lembangan lain termasuk Lembangan Sungai Bernam dan Lembangan Sungai Kapar Besar dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

“Semua projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan segera, terutama di Lembangan Sungai Klang kerana pembangunan sangat pesat di lembangan berkenaan.

“Ini mengakibatkan jumlah air larian yang sangat tinggi yang menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat ataupun banjir monsun.

“Selain itu, projek tebatan banjir ini akan dilaksanakan secara sinergi bersama projek di bawah peruntukan kerajaan Persekutuan bagi mencapai keberkesanan lebih menyeluruh dalam menangani isu banjir di negeri Selangor,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor, di sini petang tadi.

Amirudin berkata, Belanjawan Selangor 2025 turut menyediakan peruntukan khusus bagi pembangunan pantai di Selangor.

Sementara itu katanya, bagi tujuan pembangunan sistem saliran lebih bersepadu dan komprehensif,

kerajaan negeri bercadang memperuntukkan sebanyak RM2.07 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor.

Katanya, kerajaan negeri bercadang memperuntukkan sejumlah RM8.5 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor bagi menyediakan perkhidmatan kepakaran dalam pengurusan sungai secara bersepadu dalam memastikan lembangan sungai diurus dengan sempurna dan keperluan pemeliharaan kuantiti dan kualiti sumber air.

Dalam pada itu beliau turut mengumumkan beberapa projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd pada 2025, yang mana projek ini menjadi komponen penting dalam usaha memastikan bekalan air berkualiti dan mampan untuk rakyat Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini