Tumpuan :
Nasional

Selangor pertimbang ‘duit raya’ kepada penjawat awam negeri, ADUN

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. FOTO NSTP

SHAH ALAM: Selangor mempertimbang pemberian ‘duit raya’ atau Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2 tambahan kepada semua penjawat awam negeri termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan membawa perkara itu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri dalam masa terdekat.

“Ada lagi berita baik, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan selain daripada BKK yang dilaksanakan.. kita turut memberikan tambahan duit raya kepada seluruh penjawat awam termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Perkara ini akan dibawa ke dalam MMK negeri nanti dan akan pertimbang duit raya yang kita panggil BKK 2 khas,” katanya pada Persidangan DUN Selangor di Wisma DUN Selangor di sini hari ini.

Pada masa sama, Amirudin merakamkan penghargaan kepada semua ADUN sama ada di Blok Kerajaan mahupun Pembangkang yang mengambil bahagian dalam persidangan itu.

November tahun lalu, Amirudin mengumumkan penjawat awam negeri Selangor akan menerima BKK dua bulan gaji yang dibayar secara berperingkat pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025.

Pemberian berkenaan akan meliputi pelbagai syarat-syarat ditetapkan dengan satu bulan dibayar pada 31 Disember 2024 dan sebulan lagi akan dilunaskan pada 25 Mac depan bersempena Aidilfitri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini