Tumpuan :
Nasional

Selangor nafi lulus projek pembangunan di KSAS

Lokasi kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands

SHAH ALAM: Selangor menafikan dakwaan badan pemantau hutan Malaysia, Rimba Disclosure Project (RDP) yang kerajaan negeri meluluskan projek pembangunan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) sekitar Genting Highlands .

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian mengingatkan RDP supaya meneliti fakta tepat sebelum menuding jari.

“Saya menafikan dakwaan itu. Mereka (hanya) main teka sahaja, maklumat itu tidak betul.

“Mereka (RDP) perlu mendapatkan fakta yang betul sebelum menuding jari kepada kerajaan negeri (Selangor),” katanya kepada BH.

Semalam, BH melaporkan RDP mendakwa kawasan seluas lebih 5,700 hektar di Genting Highlands dan pergunungan sekitarnya sudah diluluskan untuk projek pembangunan, termasuk perumahan dan lot komersial.

Dalam kenyataan itu, RDP mendakwa siasatan pihaknya mendapati kawasan yang diperuntukkan bagi pembangunan itu adalah di lereng gunung yang curam dan berada di KSAS Tahap 1 dan 2.

Secara teknikalnya, kawasan berkenaan tidak dibenarkan untuk sebarang projek pembangunan.

Justeru, RDP menggesa pihak berkuasa Selangor dan Pahang supaya menghentikan serta-merta semua kerja pembangunan yang dirancang dan sedang dilaksanakan di Genting Highlands dan kawasan pergunungan sekitarnya.

Loading...
Terkini