Kerajaan Negeri Selangor memulakan kajian bentuk muka bumi atau topografi bagi mendapatkan data taburan hujan yang tepat, sekali gus menangani masalah banjir di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur negeri, Ir Izham Hashim, berkata kajian itu adalah sebahagian daripada Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang kini dilaksanakan di Selangor dan sedang memasuki fasa kedua.
“Fenomena banjir baru-baru ini, Disember 2021 memerlukan kita buat pemprofilan atau kajian topografi di seluruh kawasan sungai serta muka bumi kerana taburan hujan kini berlaku di merata tempat. Apabila ada kajian topografi, kita boleh membuat simulasi, seterusnya melihat aliran air atau banjir akan berlaku di kawasan mana,”
“Tanpa data dan maklumat topografi yang tepat pada permukaan bumi, kita tidak berupaya buat simulasi. Proses ini bukan mudah tetapi sudah dimulakan agar kita dapat buat simulasi dan hebahan tepat serta awal,” katanya menjawab soalan tambahan Lau Weng San (PH-Banting) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.