
SHAH ALAM: Zakat fitrah di Selangor pada Ramadan tahun ini kekal pada kadar RM7, RM15 dan RM22.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam kenyataan memaklumkan penetapan kadar zakat itu adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam Selangor pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.
“Bagi umat Islam yang makan beras Super Special Tempatan lima peratus, kadar zakat fitrah ditetapkan pada RM7 yang mana ia juga adalah kadar wajib minimum sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
“Kadar zakat fitrah RM15 adalah bagi pengguna beras Super Import, Beras Perang, Beras Pulut, Herba Ponni dan Beras Wangi manakala bagi kadar RM22 pula adalah untuk umat Islam yang memakan beras jenis Basmathi, Beras Jepun, Beras Merah dan setaraf dengannya,” katanya.
Kenyataan itu juga berkata, agensi berkenaan turut menggunakan kupon fitrah berwarna bagi memudahkan pembayaran mengikut kadar yang ditetapkan.
Katanya, kupon hijau mewakili kadar RM7, kupon merah bagi RM15 dan kupon oren untuk RM22, selaras dengan jenis beras yang dimakan oleh pembayar zakat.
“Sepanjang Ramadan ini, LZS turut melantik 2,836 Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh Selangor bagi memudahkan urusan pembayaran zakat fitrah.
“Orang ramai diingatkan untuk menunaikan zakat fitrah kepada PAF bertauliah yang dikenal pasti melalui kad tauliah dan sijil lantikan rasmi daripada LZS,” katanya.
LZS berkata, pembayaran zakat fitrah juga boleh dibuat melalui 18 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 97 Maahad Tahfiz serta Sekolah Agama Swasta di negeri ini.
Katanya, LZS turut menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat.
“Antara saluran pembayaran zakat yang boleh dilakukan secara dalam talian adalah melalui EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my; Perbankan internet; Portal MyEg; Pos Online; Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost,” katanya.
Dalam perkembangan sama, LZS akan membuka 19 cawangannya di seluruh Selangor tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini, bagi memudahkan masyarakat yang ingin menunaikan zakat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.