KLANG: Selangor berjaya meraih kutipan hasil berjumlah RM 2.593 bilion setakat 9 Disember dengan peningkatan 118 peratus daripada sasaran kutipan hasil 2024 berjumlah RM 2.2 bilion.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah tersebut adalah manifestasi dan bukti kesungguhan barisan penjawat awam dan anggota pentadbiran kerajaan negeri bagi memacu ekonomi Selangor, sekaligus meningkatkan hasil demi manfaat rakyat.
“Malah pencapaian ini mencerminkan keyakinan komuniti pelabur tempatan dan antarabangsa serta rakyat Tuanku kepada sikap dan kebertanggungjawaban Kerajaan Tuanku dalam merencana dan mengagihkan kekayaan negeri secara efektif dan bersasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang ke-79 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, hari ini.
Antara inisiatif peningkatan hasil kerajaan negeri itu adalah pelaksanaan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya yang kini dalam proses akhir pelancaran.
Ia dijangka mencapai nilai eksport lebih RM100 bilion dalam industri semikonduktor dan kecerdasan buatan menjelang 2030.
Ia termasuk kerjasama dengan syarikat terkemuka Google melalui produk Gemini dalam konsep Sandbox bagi meningkatkan sistem perkhidmatan kerajaan serta nilai dan kebolehupayaan syarikat pemula di Selangor.
Selangor juga akan memberi tumpuan kepada industri baru lain seperti aeroangkasa, bidang pembuatan berteknologi tin dan pembinaan perumahan mampu milik, menerusi Dasar Speed yang akan dilancarkan pada April 2025.
Dalam usaha mitigasi banjir dalam bentuk projek pendalaman sungai dan pelebaran saliran, Selangor memperuntukkan RM1.774 billion; iaitu RM574.5 juta di Daerah Klang untuk Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Klang, Seksyen 25, Shah Alam, Sungai Kapar, Sungai Rasah, Pekan Meru, Sungai Rasau serta RM1.2 billion bagi Daerah Petaling iaitu Rancangan Tebatan Banjir
Sungai Damansara serta Kolam Takungan Dwi-Fungsi bagi Sungai Klang dan Sungai Rasau.
Sementara itu, Skim Jaminan Air Mentah juga digerakkan bagi menangani insiden pencemaran air mentah di sungai seluruh negeri.
Ia dijangka mengurangkan risiko pencemaran air sungai sebanyak 90 peratus dengan kos RM320 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.