GEORGE TOWN: Anggota tentera darat yang bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), Koperal Mazlan Abdul Rahman yang menyelamatkan dua individu terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, Isnin lalu menyifatkan tindakannya itu sebagai spontan.
Ia apabila menyedari dua mangsa terbabit terapung di permukaan air, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di sungai Petani, Kedah dengan menaiki motosikal setelah selesai bertugas di Kem Sungai Ara.
Selamatkan dua individu terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang – anggota tentera sifatkan tindakannya sebagai spontan.
Sumber video: NSTP pic.twitter.com/FHhzsrd9fM
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 17, 2024
“Mungkin Allah SWT gerakkan hati saya untuk terjun bagi menyelamatkan mangsa lelaki yang terapung serta dalam keadaan stabil, walaupun cedera di kepala. Keadaan memang gelap selain arus laut kuat dan banyak obor-obor.
“Kemudian, saya selamatkan mangsa wanita yang terkapai-kapai minta pertolongan sebelum menarik mereka bagi berpaut pada tembok berhampiran tiang jambatan.
“Saya tidak dapat mengangkat mangsa ke atas tembok kerana ia terlalu tinggi dan kami bertiga hanya berpaut di tembok berkenaan selama hampir 20 minit, sementara menanti bantuan bot nelayan terdekat,” katanya ketika ditemu bual Harian Metro menerusi panggilan video semalam.
Sejurus diselamatkan bot nelayan, Koperal Mazlan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang pada jam 5 pagi semalam.
Kejadian itu turut menyebabkannya cedera di kaki, selain sakit di belakang badan akibat di sengat obor-obor.
“Sewaktu kecil, saya pernah menyelamatkan abang daripada lemas dan kini ketika berkhidmat di TDM, saya adalah seorang jurulatih jasmani dan sukan.
“Saya pernah mengikuti kursus menyelamat serta menangani situasi seumpamanya dengan latihan di tempat setinggi 10 meter dan mungkin kerana itu saya ada keberanian bagi mempraktikkan kaedah berkenaan ketika kejadian,” kata bapa kepada dua anak itu yang sudah 14 tahun berkhidmat dalam pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM).