![](https://media.buletintv3.my/2024/01/ZiKJOFwm-BTV3-WORK-49.jpg)
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan Harimau Malaya yang akan memulakan saingan Piala Asia 2023 menentang Jordan awal pagi esok.
Perdana Menteri berkata, perlawanan pertama itu satu misi penting untuk membawa nama negara khususnya menerusi sukan bola sepak ke pentas antarabangsa.
“Seluruh rakyat Malaysia mendoakan kalian bertempur dengan penuh semangat. Selamat berjuang!,” katanya dalam entri di Facebooknya malam ini.
Detik jam 1.30 pagi esok waktu Malaysia bakal menandakan bermulanya langkah sebenar perjuangan Harimau Malaya di pentas pusingan akhir Piala Asia 2023.
Skuad kendalian Kim Pan Gon akan turun menentang Jordan di Stadium Al Janoub bagi saingan Kumpulan E dan ia menjadi penampilan semula skuad negara di kejohanan tertinggi Asia itu selepas 2007.
Tampil atas tiket sebagai tuan rumah pada 2007, skuad negara bagaimanapun berdepan situasi mengecewakan apabila gagal mengutip sebarang mata dan menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan C.
Penampilan Harimau Malaya kali ini tampak lebih mengujakan semua pihak apabila skuad negara layak secara merit buat kali pertama ke pusingan akhir selepas tempoh 43 tahun.
Berdasarkan kiraan mata, Harimau Malaya berpeluang meraih mata tambahan 22.31 seandainya berjaya mengejutkan skuad The Chivalrous Ones.
Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menyatakan sejauh mana pergerakan Harimau Malaya dalam ranking FIFA dengan pasukan lain turut mengintai peluang untuk memperbaiki kedudukan mereka.