Oleh Fatin Hanani Sahimi
PETALING JAYA: Khabar duka mengenai pengesahan identiti mayat guru wanita Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3 Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 33, mengundang kesedihan kenalan mangsa.
Menerusi tinjauan BuletinTV3 di laman Facebook mendapati, beberapa hantaran dimuat naik rakan Allahyarham yang turut berkongsi duka dengan pemergian teman tersayang.
“Rehatlah dengan tenang sahabat, dunia ini memang kejam, tidak menyangka selama ini jasad awak dekat dengan laluan saya sepanjang awak hilang.
“Sayang awak dunia akhirat,” kata pemilik FB Eyma Yem.
Turut berkongsi duka, Safia Waheeda Amirudin yang menyifatkan Allahyarham seorang yang mengambil berat dan prihatin dengan sentiasa bertanyakan mengenai perkembangan anaknya.
“Macam tidak percaya dengan apa yang terjadi. Teringat Is selalu WhatsApp dengan kak, bertanya pasal perkembangan anak, terapi, speech delay.
“Seminggu sebelum Is hilang, Is ucap tahniah sebab kak boleh balik Terengganu, semoga ada pembelaan buat Is,” luahnya di hantaran.
Dalam pada itu, menerusi hantaran yang dimuat naik rakan guru, Zahidi Zakariya yang turut menziarahi keluarga Allahyarham di kediamannya di Kota Masai, juga menyifatkan arwah seorang yang sentiasa ceria ketika bertugas.
“Selesai ziarah di rumah Arwah, semoga Arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, Al Fatihah,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi kenalan mangsa, Mijot Armiza menerusi perkongsiannya, mahukan keadilan ditegakkan.
“Salam takziah buat keluarga arwah Cikgu Is. Moga si pelaku dijatuhi hukuman setimpal atas jenayah kejam lagi tidak berperikemanusiaan yang dilakukannya,” ujarnya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt. Ashari Abu Samah hari ini mengesahkan, mayat yang ditemui dalam longkang tanpa kepala dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023.
Ashari berkata, risikan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Polis Alor Gajah, menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak.
Suspek lelaki hari ini disambung reman hingga 18 Ogos, manakala isteri lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.