comscore
Tumpuan :
Nasional

Sektor pembinaan catat pertumbuhan 17.3 peratus setakat September

Foto hiasan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan mencatat pertumbuhan sebanyak 17.3 peratus dalam tempoh tiga suku pertama, setakat September tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu menandakan pertumbuhan dua digit pertama sejak 2014 dan membuktikan ketahanan serta kekuatan industri berkenaan.

“Tanpa ragu, pertumbuhan yang luar biasa ini membawa manfaat yang meluas kepada ekonomi Malaysia.

“Peningkatan aktiviti pembinaan akan menghasilkan lebih banyak penciptaan pekerjaan, meningkatkan pelaburan domestik dan asing, serta memacu pembangunan infrastruktur di seluruh negara.

“Sekali gus menjadikan Malaysia sebagai peneraju industri pembinaan di rantau ini,” katanya dalam ucapan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Dalam ucapan itu, Datuk Seri Anwar turut menekankan peranan penting sektor pembinaan dalam pemulihan ekonomi negara, terutamanya selepas cabaran yang dihadapi semasa pandemik.

Katanya, pertumbuhan ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan industri untuk mengatasi cabaran, tetapi juga menandakan kesediaannya untuk terus memacu pembangunan Malaysia ke hadapan.

Tambahnya, kerajaan terus komited untuk menyokong sektor ini, memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan mampan dalam menghadapi kos yang meningkat serta cabaran global.

Beliau juga menyatakan bahawa hubungan simbiotik antara teknologi pembinaan dan digitalisasi, terutamanya permintaan yang semakin meningkat untuk pusat data, akan terus memacu kepimpinan Malaysia dalam kedua-dua bidang tersebut.

Beliau menyeru semua pemain industri untuk turut serta dalam membentuk masa depan industri pembinaan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini