
KUALA TERENGGANU: Pengurusan sekolah yang terbabit dengan banjir di negeri ini serta yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) boleh memohon cuti bencana.
Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Azman Othman @ Abdullah berkata, 13 sekolah kini terpaksa ditutup berikutan laluan dinaiki air.
“Cuti bencana kepada pengurusan sekolah yang terpaksa ditutup disebabkan laluan dinaiki air semakin bertambah, berbanding hanya lima sekolah, semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan negeri berkata, 13 sekolah itu termasuk di daerah Kuala Terengganu, Dungun, Besut dan Kuala Nerus.
Antara sekolah ditutup di daerah Kuala Terengganu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Kubang Ikan, SK Pusat Kuala Ibai, SK Kedai Buluh dan SK Losong.
“Sekolah lain yang terpaksa ditutup adalah SK Kampung Bukit, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, SMK Sultan Mansor, SK Bukit Bayas dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Sheikh Abdul Malek.
“Sekolah di daerah Besut yang ditutup adalah SK Bukit Puteri dan SMK Padang Kemunting (Kuala Nerus), manakala di Dungun, SMK Intan Zaharah,” katanya.