comscore
Tumpuan :
Nasional

Sekolah, tadika, taska tutup serta-merta jika IPU 200

PETALING JAYA: Sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, menurut Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar.

Beliau berkata, ia antara tindakan menghadapi jerebu berdasarkan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).

Justeru, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU.

“Sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan peningkatan ke arah 200, persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan,” katanya dalam siaran media dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), semalam.

Beliau menjelaskan, pelan PTJK mengandungi tindakan spesifik yang perlu diambil oleh setiap agensi berpandukan kepada tahap amaran tertentu yang ditetapkan mengikut status kualiti udara iaitu bacaan IPU dan petunjuk kepada kesihatan awam.

“Pelan tindakan ini dikemaskini pada tahun 2002, 2006, 2012 dan 2013. Pengemaskinian pelan terkini adalah pada tahun 2018 dengan mengambilkira kemasukan parameter PM2.5 dalam bacaan IPU negara.

“Pengemaskinian Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan adalah untuk mempercepatkan tindakan yang perlu diambil oleh agensi.

“Antara tindakan agensi yang perlu dilaksanakan adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah/negeri/pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

“Menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100. Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

Justeru, katanya, JAS bersama kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu akan sentiasa bertindak dengan lebih cepat dan responsif di atas tindakan-tindakan seperti yang disenaraikan di dalam pengemaskinian PTJK.

Wan Abdul Latiff berkata, bagi menangani situasi berjerebu di dalam negara, kementerian dan setiapagensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sedang mempertingkatkan usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana untuk sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, arahan itu dikeluarkan memandangkan negara berdepan perubahan cuaca yang dinamik susulan peralihan monsun yang membawa kepada cuaca panas dan kering serta mengakibatkan jerebu di beberapa negeri.

Loading...
Terkini