comscore
Tumpuan :
Nasional

Sekolah dilengkapi bumbung, tandas pada Oktober – PM

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua sekolah di seluruh negara akan dilengkapi kemudahan asas selewat-lewatnya Oktober ini.

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

“Sebelum akhir tahun ini, secara spesifik Oktober, semua sekolah di negara kita seperti Sekolah Kebangsaan, sekolah Cina, Tamil, sekolah Arab, semua tanpa kecuali kita jamin punya prasarana asas dengan bumbung dan tandas,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan infrastruktur itu jauh lebih bermakna bagi jutaan ibu bapa dan murid daripada mercu tanda serta gedung besar.

Julai lalu, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan RM1.4 bilion bagi menambah baik bangunan sekolah daif di seluruh negara.

Sementara itu, Anwar berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bakal dilancarkan pada Jumaat ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, NIMP 2030 akan menjadikan Malaysia sebagai negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital.

“Pelan ini bukan yang biasa tetapi memberi tumpuan melakukan anjakan supaya tidak hanya memutuskan kepada sesuatu sektor, tetapi ke arah matlamat dan misi menjadikan Malaysia negara industri dengan teknologi tinggi, transformasi digital dan memberi ruang kepada ratusan ribu anak muda dalam bidang pekerjaan baharu.

“Transformasi digital dalam industri bukan sahaja dapat mengembalikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan unggul tetapi akan meningkatkan keupayaan kita,” katanya.

Loading...
Terkini