GEORGE TOWN: Pihak sekolah sudah diarahkan menyediakan laporan lengkap berhubung insiden seorang pelajar tingkatan dua melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur kerana mendakwa tidak tahan dibuli.
Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata Kementerian Pendidikan KPM akan mengambil tindakan selanjutnya selepas menerima laporan lengkap dan menjalankan siasatan berhubung kejadian buli itu.
“Kami sudah arahkan sekolah buat laporan lengkap untuk diserahkan kepada kepada KPM, kami akan tunggu laporan tersebut sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
KPM dalam kenyataan semalam memaklumkan pihak kementerian sedang menyiasat dakwaan buli membabitkan pelajar itu dan akan memastikan perkara tersebut diselesaikan segera.
Dalam masa sama menurut kenyataan itu Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 dan 13 Tahun 2023, bertarikh 3 November 2023 perlu dijadikan panduan bagi menangani gejala buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan KPM.
Empat saluran utama disediakan bagi membolehkan murid, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat aduan mengenai kes buli dan gangguan seksual menerusi talian khas Aduan Buli, aplikasi WhatsApp, e-mel [email protected] dan aduan buli dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Semalam media melaporkan pelajar berusia 14 tahun yang hilang dari kawasan sebuah sekolah menengah di Cheras ibu negara Khamis lalu, ditemukan dalam keadaan lemah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak pada Jumaat.
Difahamkan, remaja berkenaan bertindak melarikan diri dari sekolah berikutan dibuli pelajar lain.