Oleh Amira Suraini Che Mohamad
CHANGLUN: Melangkah masuk ke Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, disini, mata pastinya terpukau dengan 16 lukisan mural pelbagai tema yang menceriakan suasana sekolah.
Keseluruhan mural itu dilukis pada dinding bangunan dan kelas yang sebelum ini kosong bagi membangkitkan semangat dan minat murid untuk belajar.
Antaranya, mural watak kartun Kampung Boy dan watak Minecraft yang menjadi salah satu alat pembelajaran di dalam kelas apabila Minecraft Education Edition diperkenalkan pada 2016.
Bercakap kepada Buletin TV3, guru besarnya, Mohd Nizam Saidin berkata, sentuhan hasil kreativiti para guru membuatkan ramai tidak menyangka ia adalah sekolah yang dibuka sejak tahun 1892.
“Hasil kerjasama semua guru sebelum ini telah menghasilkan 14 mural pada dinding-dinding bangunan dan kelas.
“Namun tambahan dua lagi lukisan mural sebagai kejutan bersempena penggal baru persekolahan… Boleh dikatakan tiada lagi dinding yang kosong,” ujarnya.
Sebagai langkah keselamatan, para guru turut bergotong-royong memangkas dan memotong dahan pokok.
Dalam masa sama, mereka menggunakan tempoh cuti yang masih berbaki ini untuk membaiki kerusi dan meja yang rosak demi keselesaan murid.
“Jiwa guru-guru ini sangat hebat kerana ingin melihat anak didik mereka apabila kembali ke sekolah nanti akan berasa selesa dan ceria.
“Pengorbanan mereka, sukar digalang ganti dengan apa pun bentuk ganjaran.
Menurutnya, transformasi persekitaran sekolah berjalan dengan lancar hasil permuafakatan semua pihak terutama guru dan kakitangan pengurusan sekolah.