Tumpuan :
Nasional

Sekolah buat titi mudahkan calon SPM rentas banjir

Calon SPM di Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Falah menggunakan titi di laluan yang masih digenangi air yang dibina oleh pihak sekolah bagi memudahkan pergerakan. – FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Pengurusan Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Falah membina titi di laluan yang masih digenangi air bagi memudahkan pergerakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah berkenaan.

SMUA Al-Falah antara dua sekolah selain SMUA Diniah, di Kelantan yang dijadikan pusat peperiksaan dan masih digenangi air sekitar 0.3 meter akibat banjir baru-baru ini.

Tinjauan di sekolah berkenaan mendapati kelas peperiksaan berada di tingkat satu dan keadaan banjir hanya di lokasi tertentu sekolah berkenaan dan tidak menjejaskan operasi peperiksaan.

Keadaan itu menyebabkan ramai calon SPM dan pelajar lain memakai selipar, namun masih ada segelintir memakai kasut sekolah.

Calon SPM, Nor Damia Afrina Mohd Fadli berkata, keadaan sekolah yang masih digenangi air itu tidak menjejaskan langsung semangat mereka untuk berdepan SPM hari ini.

“Alhamdulillah walaupun masih ada air, kami tetap gembira kerana dapat menduduki peperiksaan di sekolah sendiri dan tidak perlu menumpang di sekolah lain.

“Sebelum ini ketika ujian bertutur Bahasa Melayu, kami terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Chicha dan alhamdulillah hari pertama ujian bertulis Bahasa Melayu, kami menduduki peperiksaan di sekolah sendiri.

“Suasana di sekolah sendiri tidak akan sama dengan sekolah lain. Alhamdulillah banjir sudah surut dan tidak menjejaskan peperiksaan kami,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, semua 48 calon SPM di sekolah berkenaan tinggal di asrama sepanjang peperiksaan bagi memudahkan pergerakan.

Seramai 27,017 calon di Kelantan menduduki SPM yang bermula hari ini berjalan lancar di semua pusat peperiksaan termasuk dua dua pusat yang masih dilanda banjir.

Pengarah Pendidikan negeri (JPN) Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz, dilaporkan berkata hingga pagi ini dua sekolah yang terbabit dengan SPM masih digenangi air pada paras 0.3 meter.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini