comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sekatan import lembu, kerbau Australia ditarik semula

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menarik balik arahan penggantungan import ternakan hidup lembu dan kerbau dari Australia berkuat kuasa serta merta.

Keputusan menarik balik sekatan import itu adalah hasil perkongsian laporan penuh siasatan Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF), Australia selepas dua sesi perbincangan teknikal bersama DVS.

DVS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, hubungan baik antara kedua-dua jabatan membolehkan perkongsian maklumat dijalankan secara telus dan terperinci.

“DVS ingin memaklumkan kepada pengimport ternakan lembu dan kerbau dari Australia untuk mengemukakan surat permohonan import dari DVS sebelum membuat permohonan permit.

FOTO: NSTP

“DVS juga ingin menegaskan bahawa semua pengimportan ternakan hidup adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan setiap konsainan yang diimport menjalani proses pemantauan rapi,” menurut kenyataan itu.

DVS sebelum ini mengeluarkan arahan penggantungan sementara import ternakan hidup lembu dan kerbau dari Australia pada 4 Ogos lalu.

Tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga berikutan dakwaan pihak berkuasa Indonesia mengenai penemuan tanda-tanda jangkitan Lumpy Skin Disease (LSD) pada lembu yang diimport dari Australia, memandangkan Malaysia turut mengimport haiwan tersebut dari negara terbabit.

Mengulas lanjut, DVS berharap keputusan menarik semula sekatan import berkenaan memberi kelegaan kepada industri dan seluruh rakyat.

“Di samping itu, DVS turut menghargai keterbukaan DAFF dalam membantu proses penyelesaian isu ini,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini