
KUALA LUMPUR: TikTok menjelaskan punca sekatan ke atas beberapa akaun organisasi media baru-baru ini didakwa berpunca daripada pelanggaran polisi keselamatan belia (youth safety policies) platform itu.
Ia berikutan kandungan yang dimuat naik memaparkan dakwaan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak yang berlaku di Batang Kali dan kini kes sedang disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Bagi melindungi mangsa eksploitasi seksual kanak-kanak, Tiktok tidak membenarkan rakaman, klip, atau imej yang memaparkan sebarang gangguan salah laku ke atas mereka.
Ekoran daripada itu, Tiktok bersama Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) terus giat menjalin kerjasama dengan organisasi media tempatan dalam usaha mengendalikan kandungan mengikut peraturan yang ditetapkan di platform itu selain mengadakan perbincangan bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk semua pihak.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang berhubung dengan TikTok bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.