Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) menggesa kerajaan agar melaksanakan sekatan penuh terhadap kenderaan berat memasuki lebuh raya.
Presidennya, Datuk Meor Chek Hussien berkata, sebarang pergerakan logistik yang membawa muatan berat boleh digunakan melalui kereta api.
Ujarnya, tindakan itu juga sudah mula diamalkan di beberapa negara luar.
“Mungkin sudah tiba masanya supaya kenderan-kenderaan berat ini dilarang masuk lebuh raya kita, segala barangan yang hendak dibawa atau dihantar boleh menggunakan kereta api.
Mengulas mengenai had masa kemasukan kenderaan berat di lebuh raya, Datuk Meor berkata ia hanya bersifat sementara dan masih tidak mampu menyelesaikan isu kemalangan membabitkan kenderaat berat.
“Contohnya semasa musim perayaan ini tempohnya singkat dan lori-lori tetap akan berjalan jauh sepanjang tahun jadi itu cuma tindakan berbentuk sementara.
“Kerajaan harus kaji untuk ambil tindakan supaya tragedi-tragedi seperti yang berlaku baru-baru ini dapat ditamatkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, RESPA berpendirian, penguatkuasaan terhadap kenderaan berat di negara ini masih dianggap lemah.
Hakikatnya, masih terdapat banyak kenderaan berat yang tidak mematuhi spesifikasi kenderaan serta isu pemandu yang tidak mempunyai lesen dan sebagainya.
Jelasnya, pemeriksaan yang lebih ketat wajar dilakukan terutamanya di stesen-stesen bas sebelum bermulanya pergerakan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.