Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Lembaga Pelabuhan Klang diarah untuk membantu syarikat logistik, pengimport, pengeksport dan perkapalan dalam menguruskan kargo masing-masing yang terjejas, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Jelasnya, ia susulan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan kapal dagang dari syarikat perkapalan Israel, ZIM untuk berlabuh di Pelabuhan Klang, Selangor yang dijadual pada 26 Disember ini.
“Selaras dengan kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), syarikat perkapalan Israel, ZIM tidak akan dibenarkan untuk belabuh di pelabuhan Malaysia berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Anwar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, menggunakan bendera Israel atau kapal dalam perjalanan menuju ke sana dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia, berkuat kuasa serta merta.
Sekatan itu, tegas Anwar sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.
Keputusan berkenaan turut membabitkan kapal milik syarikat ZIM berpangkalan di Israel yang dijadual berlabuh di Westports, Pelabuhan Klang pada 26 Disember ini.
“Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal terbabit untuk mendarat di Malaysia.
“Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet yang lalu,” kata Anwar.