Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Tindakan sekatan kapal Israel daripada berlabuh di negara ini adalah isyarat jelas Malaysia tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, tindakan tegas itu juga selari dengan dasar kerajaan yang komited memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang ditindas rejim zionis.
“Saya lihat ini adalah selari dan selaras dengan dasar kerajaan yang memberi penegasan tentang beberapa isu melibatkan Israel. Saya lihat dari segi dasar kita konsisten dan komitmen kita untuk memperjuangkan nasib rakyat Gaza itu yang antara menjadi keutamaan.
“Tindakan kerajaan ini memberikan satu signal yang paling jelas bahawa kita tidak mengiktiraf negara Israel dan kita tidak akan bersekongkol dalam usaha mereka termasuklah membantu dari segi ekonomi buat Israel,” katanya yang ditemui selepas Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, menggunakan bendera Israel atau kapal dalam perjalanan menuju ke sana dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia, berkuat kuasa serta merta.
Sekatan itu, tegas Anwar sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.
Keputusan berkenaan turut membabitkan kapal milik syarikat ZIM berpangkalan di Israel yang dijadual berlabuh di Westports, Pelabuhan Klang pada 26 Disember ini.
“Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal terbabit untuk mendarat di Malaysia.
“Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet yang lalu,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, keputusan sekatan terbabit tidak akan menjejaskan penggunaan pelabuhan dan kegiatan perdagangan negara.
“Saya minta maaf saya tidak ada angka spesifik berapa peratus daripada syarikat yang berlabuh di pelabuhan kita (menuju) destinasi Israel tapi saya percaya jumlahnya tidak terlalu besar dan semestinya pihak kerajaan akan meneliti dari semasa ke semasa tentang isu ini,” katanya.