Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
BUKIT JALIL: Satu pertemuan akan diadakan esok (Khamis), antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan pengendali aplikasi Tiktok berhubung isu kandungan membabitkan konflik Palestin-Israel yang didakwa disekat di platform itu.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pertemuan tersebut akan diadakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan syarikat induk Tiktok.
“InsyaAllah saya akan mengadakan perjumpaan dengan TikTok, saya difahamkan mereka akan hadir Khamis ini, tapi saya biarkan MCMC untuk jumpa mereka dulu. Saya telah dipelawa untuk bertemu dengan the mother company kepada TikTok”.
“Malah, saya lihat Tiktok sudah mula cuak kerana mereka dapat tahu yang kita akan bertemu dengan syarikat induk mereka,”
“Namun, saya ingin tegaskan, bukan melibatkan Tiktok sahaja, tetapi semua platform media, seperti yang Perdana Menteri umumkan Jumaat lalu, Malaysia akan mula melaksanakan Global Minimum Tax yang akan memerlukan syarikat-syarikat media sosial untuk didaftarkan” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, di sini malam tadi.
Sementara itu, mengulas mengenai program malam tadi, beliau berkata kehadiran yang memberangsangkan dengan lebih 15,000 orang adalah tanda betapa teguhnya sokongan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.
“Ada beberapa perkara yang penting, semestinya kita telah dimaklumkan oleh Wisma Putra bahawa pada 26 Oktober, jam 10 malam waktu Malaysia, satu sidang khas tergempar akan diadakan di United Nations General Assembly (UNGA), di mana satu permohonan yang dibuat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang diskong oleh Malaysia dan sejumlah negara lain untuk membincangkan dan membahaskan isu berkaitan Palestin telah dibenarkan dan akan dibahas pada waktu itu.”
“Malaysia akan turut terlibat, dan ini satu penghormatan dan juga pengiktirafan bahawa Malaysia teguh dan tegas dalam pendirian dalam isu kebebasan bagi negara Palestin dan juga keadilan untuk rakyatnya setelah kita saksikan kezaliman oleh rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.”
“Kehadiran yang baik ini saya harap akan jadi pencetus dan memberi semangat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Malah, Fahmi turut mengingatkan semua yang ingin memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin agar memastikan dan mengesahkan sumbangan disalurkan kepada agensi ataupun badan yang diikitiraf atau rasmi.
“Kita risau tindakan pihak scammer atau pihak tidak bertanggungjawab ingin mengambil kesempatan untuk meraih dana dan kita tidak tahu dana itu pergi ke mana,” katanya.