comscore
Tumpuan :
Nasional

Sekat bon pelaksanaan, tuntutan ganti rugi menanti pengusaha dewan makan MRSM Taiping- Asyraf Wajdi

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Pengusaha dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping berhadapan tindakan sekatan terhadap bon pelaksanaan, serta tuntutan ganti rugi di mahkmah susulan insiden keracunan makanan yang membabitkan 62 pelajar di institusi pendidikan itu pada 30 dan 31 Ogos lalu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan pendekatan itu adalah langkah tambahan selepas tindakan menamatkan kontrak yang dibuat kerana sikap sambil lewa sehingga mencetuskan risiko kesihatan kepada pelajar di situ.

“Bon pelaksanaan ini nilainya lima peratus, boleh mencecah nilai RM200,000. Saya sudah minta bahagian undang-undang MARA untuk memperhalusi semua tindakan undang-undang termasuk lupuskan bon ini.”

“Ini isyarat kepada semua pengusaha lain bahawa saya tidak akan berkompromi dalam hal membabitkan keselamatan, kesihatan dan juga kesejahteraan pelajar,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, lebih mengejutkan apabila insiden keracunan di situ bukan pertama kali berlaku, sebaliknya kes sama pernah berlaku apabila seramai 50 orang terjejas pada Oktober tahun lalu.

Kejadian itu juga katanya membuka ruang kepada lebih banyak pendedahan oleh ibu bapa, termasuk di insitusi yang bukan di bawah seliaan MARA.

“Ada pengusaha yang menyediakan makanan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan terutamanya menjelang bulan-bulan akhir sebelum kontrak tamat. Perkara ini juga terbukti ketika terjahan saya, dimana ikan yang disediakan bukan seperti yang dipaparkan dalam menu.”

“Banyak komen-komen ibu bapa di laman sosial saya memberikan isyarat bahawa sekolah berasrama penuh lain juga mengalami masalah sama. Dalam konteks MRSM, saya tidak akan mengambil sambil lewa semua rintihan ini,” tegasnya.

Datuk Asyraf turut menjelaskan beliau tidak gentar dengan keangkuhan kontraktor terbabit, termasuk sekiranya dia mempunyai hubungan atau “kabel yang besar” dengan mana-mana pihak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di sebuah hotel di sini, malam ini.

Untuk rekod, Jabatan Kesihatan Perak mengarahkan dewan makan MRSM Taiping ditutup, ekoran insiden keracunan makanan yang membabitkan 62 pelajar di institusi pendidikan itu pada 30 dan 31 Ogos lalu.

Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama (PKD LMS) telah membuat pemeriksaan premis dewan makan MRSM Taiping pada 30 Ogos 2024 jam 11.45 pagi dan mendapati bahawa tahap penilaian pada waktu itu adalah 70.11 peratus.

Susulan itu, arahan penutupan premis dewan makan MRSM Taiping dibuat di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini