Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Satu juta stok ‘fleet card’ tersedia untuk diperoleh syarikat sektor pengangkutan darat (barangan) daripada syarikat pembekal minyak pilihan mereka menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, komitmen itu diberikan lima syarikat pembekal minyak berkenaan bagi memastikan bekalan fleet card terjamin sebaik permohonan dibuat.
“Dari segi kecepatan proses, kalau dulu pada awal pelaksanaan, syarikat minyak memberi komitmen bahawa fleet card itu boleh diproses dan dikeluarkan dalam tempoh empat hingga enam minggu.
“Tetapi ada syarikat minyak yang kini boleh menyediakan kad tersebut kurang tujuh hari dan ini mempermudahkan dan melancarkan lagi proses,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan Hari Terbuka SKDS 2.0, di sini hari ini.
Lima syarikat minyak itu adalah Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHP.
Mengulas lanjut, menurut Armizan, pihaknya belum bercadang untuk menggabungkan fleet card menjadi satu kerana tidak mahu berbelanja lebih untuk membangunkan sistem baharu.
Jelasnya, SKDS mengguna pakai infrastruktur sedia ada yang diintegrasi dengan sistem dimiliki syarikat minyak.
“Sekiranya terdapat cadangan kemudian, sekiranya kos ada kewajaran, kita pertimbang (gabung fleet card). Setakat ini kita tidak mahu kos tambahan untuk sistem (baharu),” katanya.
Ketika ini, syarikat pengangkutan diberikan tiga ‘fleet card’ mengikut syarikat minyak pilihan masing-masing ketika membuat permohonan melalui sistem MySubsidi Diesel Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
SKDS melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan.
Tambah Armizan, pihaknya turut meneliti cadangan untuk menambah bilangan pilihan syarikat minyak oleh syarikat pengangkutan.
Sementara itu, beliau berkata, KPDN menggerakkan kerjasama mengintegrasikan SKDS dengan MySikap kelolaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Jelasnya, menerusi pengintegrasian sistem itu, pemohon tidak lagi perlu memuat naik setiap dokumen, sebaliknya hanya memasukkan nombor pendaftaran.
“Jika semuanya lengkap, kelulusan boleh diberikan secara serta merta. Dengan adanya proses lebih tersusun ini, kita yakin bahawa pendaftaran permohonan untuk sertai SKDS ini dapat dipertingkatkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.