
SEREMBAN: Satu juta buku latihan diperbuat daripada kertas kitar semula diedarkan ke 2,060 sekolah di empat negeri tahun ini yang bakal memberi manfaat kepada 100,000 murid miskin dan dalam kategori B40.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Hasri Hasan berkata, buku berkenaan diedarkan di sekolah sekitar Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya dan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Sekolah terpilih akan menerima satu kotak mengandungi 400 buku latihan yang akan diedarkan kepada 40 murid miskin tegar dan B40.
“Selain membantu pelajar memerlukan, inisiatif ini dapat menjimatkan kos selain menjaga alam sekitar,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Satu Juta Buku Tulis Kitar Semula di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi, Senawang, di sini, semalam.
Majlis disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalida Omar, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiro dan Guru Besar SK Taman Seri Pagi, Amir Fikri Ithnin.
Hasri berkata, sumbangan itu adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang dijalankan bersama MBKM dan rakan strategik.
Beliau berkata, sebanyak 18 syarikat termasuk satu dari Thailand memberi sumbangan kepada program ini membabitkan nilai keseluruhan RM650,000.
“Kami menyasarkan program itu dapat diperluas ke seluruh negara dengan serahan dua juta buku tulis kitar semula pada tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khair berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat dan perseorangan untuk turut sama menyumbang dalam program terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.