KAJANG: Seorang budak lelaki berdepan detik cemas apabila kaki kanannya tersangkut kira-kira sejam di dalam lubang tandas rumahnya di sebuah apartmen di Balakong di sini, malam tadi.
Kejadian kemudian dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor jam 8.36 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lima pegawai dan anggota segera ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Bomba mendapati kejadian membabitkan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang kaki kanannya tersangkut di dalam lubang tandas.
“Kerja mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit dilakukan oleh anggota dan dikeluarkan pada 9.11 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada keluarga untuk tindakan lanjut.