comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sejak beruang itu ceroboh, kami sekeluarga sering ketakutan – Penduduk

DUNGUN: Penduduk di Kampung Kubur Bukit Mat Yeh, Bukit Besi  hari ini menarik nafas lega apabila seekor beruang seberat 80 kilogram dtangkap Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) kira-kira jam 11 malam tadi.

Seekor lagi masih lagi cuba dikesan.

“Beruang itu sangat garang. Syukur hilang sikit kebimbangan kami sekeluarga,” kata penduduk Sulaida Abu Bakar.

 

“Saya bersama anak berusia empat tahun tinggal di sini bersama bapa tiri, Md Ahad Din,59, ibu, serta seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan kerana suami saya, Mohd Shahrul Nizam Abu Bakar, 26, bekerja di luar daerah.

“Sejak kedua-dua beruang itu menceroboh di sini, kami sekeluarga tidak senang dan sering ketakutan. Pernah sekali ayah dan adik lelaki dikejar kedua-dua beruang itu ketika cuba mengusirnya keluar dari kawasan rumah,” katanya.

Katanya, malam tadi, ketika ahli keluarganya hendak tidur, tiba-tiba terdengar bunyi bising di luar rumah.

“Bapa tiri kemudiannya membuat pemeriksaan sebelum menyedari seekor beruang masuk dalam perangkap itu sebelum melaporkan kepada PERHILITAN pagi ini.

“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada PERHILITAN yang berjaya menangkap beruang ini yang sangat ganas dan garang.

“Pernah kami melihat beruang ini memanjat pokok tanaman kami yang tinggi untuk memakan buahan-buahan.

“Kami sekeluarga sangat bimbang dengan keselamatan dan selagi seekor lagi beruang itu belum ditangkap, selagi itu kami sekeluarga tidak tenang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri Terengganu, Loo Kean Seong mengesahkan berhubung dengan tangkapan itu.

Menurutnya, beruang jantan terbabit kemudiannya dibawa sebelum dilepaskan ke kawasan hutan simpan yang bersesuaian bagi memastikan kemandirian spesies itu.

“Kita akan segera memasang semula perangkap di situ bagi menangkap seekor lagi beruang yang masih berada di kawasan itu,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini