comscore
Tumpuan :
Nasional

Sesi persekolahan 2023/2024 di Johor lancar meskipun lima sekolah ditutup akibat banjir

Oleh Raja Nurul Antasha Raja Zaman

BATU PAHAT: Hari pertama sesi persekolahan 2023/2024 yang bermula pagi tadi di Johor berjalan lancar, meskipun lima sekolah di Segamat dan Batu Pahat masih ditutup akibat terkesan banjir, sejak awal Mac lalu.

Dua sekolah di Segamat membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh.

Manakala tiga sekolah di Batu Pahat iaitu SK Seri Mendapat, SK Seri Nasib Baik dan SK Tanjung Sembrong, juga belum dapat dibuka kerana masih digenangi air banjir.

Pengarah Pendidikan Johor, Md Said Md Daimon berkata, dua  sekolah di Segamat berdepan masalah bekalan elektrik.

“Dua sekolah terbabit dijangka  dibuka seawal 20 Mac ini selepas mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya JKR,” katanya pada sidang media selepas meninjau Sekolah Kebangsaan SK Sri Gading, Batu Pahat, Johor pagi tadi.

Sebanyak 40  sekolah di daerah Batu Pahat masih dijadikan pusat penempatan mangsa banjir.

Md Said berkata, kerja-kerja membersihkan sekolah yang terkesan banjir  dijalankan secara berperingkat membabitkan pasukan sukarelawan.

Sementara itu, tinjauan mendapati murid yang terkesan akibat banjir kembali ke sekolah secara santai tanpa memakai pakaian seragam sekolah.

Ia selepas kelonggaran diberi oleh Kementerian Pendidikan kepada pelajar terbabit dan kurang mampu  untuk hadir pada sesi baru persekolahan tanpa perlu memakai pakaian seragam sekolah.

 

Loading...
Terkini