Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Segerakan proses tender projek tebatan banjir 

– FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MOF) diminta menyegerakan proses tender projek tebatan banjir di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulangi gesaan itu menegaskan, langkah berkenaan bagi mengurangkan tekanan dihadapi mangsa banjir akan risiko bencana itu pada tahun mendatang.

“Bagi langkah tebatan banjir, saya meminta Perbendaharaan untuk menyegerakan proses tender supaya dapat mengurangkan tekanan untuk tahun mendatang.”Namun langkah segera, terutama membeli ‘waterjet’ sudah dilakukan. Saya percaya ini dapat membantu rakyat di bawah yang tertekan dan akan memberi makna yang besar,” katanya ketika berucap pada program pelepasan pasukan sukarelawan penjawat awam pascabanjir ke Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Seramai 1,520 penjawat awam seluruh negara menyertai program selama dua hari itu.

Datuk Seri Anwar berkata, keadaan pascabanjir juga mencabar yang menuntut usaha tambahan.

“Saya hadir untuk mengucapkan terima kasih kepada saudara (penjawat awam). Pascabanjir juga mencabar, jadi tidak mampu keluarga dan jabatan sedia ada di Segamat atau Batu Pahat melainkan ada usaha tambahan.

“Ketua Setiausaha Negara memaklumkan ribuan penjawat awam sukarela hadir untuk berkhidmat lebih daripada tugas hakiki mereka… saya mengucapkan penghargaan setingginya.

“Ini satu permulaan yang baik sebelum Ramadan, satu ibadah yang kita sempurnakan dengan baik. Saya doakan semoga perjalanan berjalan lancar.”Khidmat (sukarela) bukan tugas hakiki, ini tugas tambahan, sukarelawan, tugas yang tidak kenal penat lelah, jadi lakukan sebaiknya,” katanya.

Ahad lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata nasib kira-kira 85,000 mangsa bencana banjir di negeri itu akan terus dibela Kerajaan Johor menerusi pelbagai bantuan yang sedang dan akan disalurkan.

Loading...
Terkini