comscore
Tumpuan :
Nasional

Segerakan pembentukan SOP perlombongan REE- Sanusi

Foto Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyegerakan pembentukan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi tujuan perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (REE).

Menyifatkan sumber mineral itu kini sedang mendapat perhatian yang tinggi, kelewatan dalam pembentukan SOP katanya membuka ruang kepada aktiviti penerokaan dan perlombongan REE secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Di Kedah, perkara ini telah ditangani oleh pihak berkuasa dimana sejumlah rampasan diperoleh. Ketika permintaan sangat tinggi, sudah tentu ada usaha untuk membawa keluar bahan mineral ini secara haram,”

“Depa (Mereka) bubuhlah nama Peah ka, Bedah ka, Semah ka untuk mengaburi pihak berkuasa. Hakikatnya ianya mineral REE yang membawa nilai keuntungan berbillion ringgit dan sewajarnya boleh dimanfaatkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri Kedah komited dalam memastikan perlombongan mineral REE dilakukan di negeri itu dengan menepati semua keperluan keselamatan alam sekitar.

“Saya bukan pakar Perlombongan REE. Tetapi apa yang saya faham dan tahu ialah perlombongan ini tidak ratakan bukit, tidak tebang pokok. Secara ringkas, perlombongan ini hanya masukkan paip-paip untuk cairkan REE dan REE mengalir keluar ikut daya tarikan graviti. Pokok-pokok masih hidup, bukit-bukit tetap gagah berdiri,”

“Saya seru pihak-pihak yang berminat dan berkepentingan untuk sama-sama kaji dan mendalami betul-betul teknik perlombongan REE ini. Jangan kita bercakap atas khabar angin atau fakta yang tidak berasas.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) dengan Jangka Bakat Mineral Sendirian Berhad dan Xiamen Tungsten Co Ltd.

MBI diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Sobri Osman manakala Jangka Bakat Mineral dan Xiamen Tungsten diwakili pengurus besar masing-masing iaitu Datuk Liana Khalid dan Liu Wenli.

Perjanjian itu bertujuan untuk meneroka perkongsian maklumat dan kepakaran di antara kerajaan negeri dan pemain industri bagi mengenal pasti potensi perlombongan REE di negeri itu.

Loading...
Terkini