KUALA LUMPUR: “Saya tengok video rider terbakar. Memang sedih… saya kata pada diri, kenapa la dia lalu masa kejadian. Kesian tengok terbakar atas jalan. Lepas Maghrib baru tahu mangsa sepupu saya.”
Demikian kata sepupu mangsa, Nurul Nazihah seperti dilaporkan mStar.
Menurut beliau, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh yang juga lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhijrah ke ibu kota dan bekerja sebagai rider penghantar makanan.
Nazihah berkata dia menonton rakaman tular memaparkan rider itu rentung terbakar, namun tidak menyangka mangsa merupakan ahli keluarga sendiri.
Artikel berkaitan : Nahas pesawat di Elmina: Jangan sebar imej, video mangsa terkorban
Tambahnya, hingga sekarang dia tidak berani untuk menefon ibunya berkenaan perkara itu kerana bimbangkan kesihatannya.
Menjelaskan lebih lanjut, Nazihah memberitahu mangsa yang berusia 30-an merupakan anak sulung daripada lima beradik dan sepatutnya pulang ke kampung halaman bagi menghadiri kenduri keluarganya minggu depan.
“Dia dah lama kerja di Kuala Lumpur. Dia kerja rider. Dah habis belajar dalam tahun 2017. Memang rapat, baru saja jumpa di kampung masa raya Qurban. Saya duduk Kulim, ibu arwah di Sidam. Kampung kami pula di Baling.”
“Minggu depan kenduri kahwin adik dia. Sepatutnya dia balik minggu depan. Memang sedihlah. Masa raya tu kali terakhir jumpa. Dia jenis soft spoken, sembang tak merapu.”
“Minta tolong semua doakan yang baik-baik, diampunkan dosanya dan dikurniakan syurga buatnya,” ujar Nazihah lagi.
Mangsa dipercayai sedang bertugas menghantar pesanan ketika kejadian adalah antara 10 individu yang disahkan terkorban apabila sebuah pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuh Raya Guthrie, Shah Alam petang semalam.
Ketika kejadian, pesawat itu membawa 8 orang penumpang manakala seorang lagi mangsa yang terkorban ialah pemandu kereta.
Artikel berkaitan : ‘Saya dengar jeritan Allahuakbar… namun kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu marak’- Saksi