PAPAR: Sebutir lagi bom lama tinggalan Perang Dunia Kedua akan dimusnahkan susulan penemuan bom kedua di sebuah tapak pembinaan di Kinarut, dekat sini, hari ini.
Bom yang ditemui pada jam 7.30 pagi tadi itu mempunyai saiz yang sama dengan bom pertama ditemui pekerja binaan pada 25 Februari lalu iaitu sepanjang 120 sentimeter dengan berat 250 kilogram.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata bom terbabit dijangka akan dimusnahkan selepas diputuskan pada mesyuarat pelbagai agensi berkaitan pada petang tadi.
Katanya, pelupusan bahan letupan Unexploded Ordnance (UXO) itu mengambil kira beberapa faktor termasuk keselamatan dan harta benda penduduk berhampiran.
“Selepas bom pertama berjaya dimusnahkan Rabu lalu, kerja pengorekan tanah bagi pembinaan tangki air diteruskan oleh pihak syarikat di kawasan terbabit sebelum menemukan sebutir lagi objek yang menyerupai bom pertama.
“Selepas mendapat laporan kejadian pada jam 7.30 pagi, sepasukan polis dari IPD Papar termasuk Unit Pemusnah Bom (UPB) Kontinjen Sabah ke lokasi dan mengesahkan objek adalah bom peninggalan Perang Dunia Kedua sama seperti yang ditemui di kawasan sama 25 Februari lalu.
“Kita akan memusnahkan atau melupuskan bom itu, tapi kita perlu mengadakan mesyuarat peringkat daerah dengan memanggil agensi berkaitan bagi menyelaraskan kerja pelupusan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan itu bagi mengelakkan gangguan ketenteraman awam dan kejadian kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda.
Katanya, bom lama itu dikenal pasti masih aktif serta merbahaya dan tindakan drastik perlu diambil seperti dilakukan sebelum ini termasuk membuat hebahan dan menutup laluan berhampiran lokasi pelupusan bahan letupan itu.
Bahan letupan itu katanya ditemui pada jarak kira-kira tiga meter daripada penemuan bom pertama pada 25 Februari lalu.
“Kita juga arahkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah untuk menunda perjalanan kerana lokasi berhampiran landasan kereta api, selain tindakan daripada beberapa agensi lain iaitu Jabatan Alam Sekitar Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dan Sabah Electricity,” katanya.
Pada Rabu lalu, sebutir bom lama sepanjang 120 sentimeter dengan berat 250 kilogram berjaya dimusnahkan.
Operasi pemusnahan itu mengambil masa tiga jam, manakala kesan letupan dilaporkan menyebabkan gegaran dan bunyi yang kuat di sekitar Kinarut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.