Tumpuan :
Nasional

Sebuah universiti awam dikompaun RM25,000 anjur konsert tanpa kebenaran

KUALA NERUS: Sebuah universiti awam (UA) dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 kerana menganjurkan konsert tanpa kebenaran.

Menurut Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif, berkata notis kompaun itu sudah diserahkan kepada pengurusan universiti itu minggu lalu.

Katanya, UA itu dikenakan tindakan mengikut peraturan Undang-undang kecil, Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2002.

“Kita sudah menyerahkan notis kompaun bernilai RM25,000 kepada pengurusan universiti kerana mengadakan hiburan tanpa kebenaran.

“Pengurusan UA terbabit diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan bayaran kompaun dan tindakan seterusnya akan dikenakan jika gagal menjelaskan bayaran,” katanya.

Foto: Tangkap layar video tular

Rosli berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah sempena pertandingan menjala sotong anjuran bersama MBKT dan Koperasi MBKT (KOSMAT) di Pantai Batu Rakit, di sini, semalam.

Seramai 18 penduduk setempat menyertai pertandingan menjala sotong yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM600 dan hamper.

Pada pertandingan yang diadakan selama dua jam bermula jam 9 malam itu, Mohd Ridduan Hamzah yang berjaya menangkap dua ekor sotong katak seberat kira-kira 200 gram mendapat tempat pertama dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM300.

Tempat kedua dimenangi Hashim Omar yang berjaya menangkap seekor sotong katak seberat 100 gram dan menerima hadiah wang tunai RM200, manakala Alias Hassan yang menaikkan sotong seberat 70 gram mendapat tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM100.

Pada Isnin lalu, tular rakaman video sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi sedang menari pada sebuah konsert Malam Galau UMT 2023 di Dewan Sultan Mizan.

Difahamkan, UA berkenaan juga akan dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, pengurusan UA berkenaan mengadakan konsert tanpa kebenaran dan siasatan turut mendapat tiada permohonan permit dikemukakan.

Loading...
Terkini