SIK: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kediaman di Kampung Kota Aur ditenggelami banjir akibat limpahan air Sungai Kota Aur, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung bencana itu sejak jam 6.07 petang semalam.
Setiba di lokasi, beliau yang mengetuai operasi menyelamat bersama 16 anggota, mendapati kawasan kampung berkenaan telah dinaiki air setinggi satu meter.
“Berdasarkan maklumat penduduk, ada juga kawasan yang dinaiki air hingga mencecah tiga meter,” katanya sambil memaklumkan air sungai melimpah susulan hujan berterusan sejak pagi semalam.
Zulkhairi berkata, sebilangan penduduk sudah berpindah lebih awal tetapi ada sebahagian lagi masih enggan berpindah.
Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya terpaksa memujuk penduduk agar segera keluar dari kawasan itu dan berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Aur yang dibuka pada petang semalam.
“Pasukan bomba menghadapi kesukaran dan cabaran ketika melakukan operasi menyelamat, malam tadi, disebabkan keadaan cuaca gelap. Jarak lokasi banjir dengan BBP juga agak jauh, iaitu kira-kira 40 kilometer (km).
“Bagaimanapun, kami berjaya memindahkan sebahagian penduduk yang terjejas banjir itu ke PPS,” katanya.
Zulkhairi memaklumkan setakat ini, seramai 20 mangsa banjir daripada tujuh keluarga telah berpindah ke PPS SK Kota Aur.
Namun, beliau berkata, trend air didapati menurun menghala ke kawasan Jeneri serta Jeniang, dekat sini, manakala pihaknya turut melakukan pemantauan di kawasan Kota Aur susulan limpahan air dari Empangan Gubir, di sini.
“Selain itu, pemantauan ke atas ‘hot spot’ banjir turut dilakukan di kawasan lain termasuk Pekan Sik, Kampung Chepir, Landai, Padang Temingat, Kemelong dan Hujung Bandar. Semua kawasan berkenaan kerap dinaiki air sekiranya hujan lebat berterusan dan air sungai melimpah.
“Justeru, penduduk di kawasan yang terjejas banjir dinasihatkan mempertingkat aspek keselamatan diri dan keluarga, di samping mematuhi arahan agensi keselamatan untuk kepentingan nyawa,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.