Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membuat satu laporan polis terhadap seorang pengguna Facebook yang didakwa menyebarkan tuduhan tidak berasas berhubung program Town Hall Pekerja Gig 2025.
Dalam kenyataan, kementerian itu menegaskan bahawa dakwaan mengaitkan program tersebut dengan usaha normalisasi unsur pluralisme dan liberalisme adalah berniat jahat serta cuba membakar sentimen keagamaan.
“Tuduhan jahat ini juga telah menutup tujuan asal program tersebut untuk
memperkenalkan satu undang-undang baharu bagi memberi hak dan
perlindungan kepada sejumlah 1.12 juta pekerja gig dalam negara ini.
“Tindakan tersebut juga dilihat cuba menjejaskan kredibiliti penjawat awam di KESUMA yang sedang bertungkus lumus membuat persiapan bagi membentangkan Akta Pekerja Gig 2025 tidak lama lagi,” menurutnya.
KESUMA turut menegaskan komitmennya untuk menjunjung prinsip Rukun Negara dalam memastikan nilai keterangkuman, perpaduan, dan rasa hormat terus terpelihara dalam kalangan rakyat Malaysia.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Putrajaya pagi tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.