KUALA LUMPUR: Menyebarkan gambar tatu kalimah Allah dalam laman Facebook, seorang wanita warga tempatan ditahan.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata tangkapan ke atas wanita berusia 46 tahun itu dilakukan di sebuah lokasi di Gombak, Selangor, semalam.
“Pemilik atau pengendali akaun Facebook ‘@Bunga Matahari’ sebelum ini memuat naik gambar menunjukkan tanda tatu kalimah Allah di badan seorang individu.
“Turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit bersama sekeping kad sim,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, reman terhadap suspek dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini, di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kes juga disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Noorsiah berkata, orang ramai juga diingatkan untuk tidak membuat sebarang hantaran atau menularkan perkara yang menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan institusi diraja di mana-mana platform media sosial.
“Ia boleh membangkitkan perpecahan, keamanan serta menggugat keharmonian kaum. Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.