PETALING JAYA: Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok menyindir ADUN PAS kerana “menolak” tanggungjawab kepada pengendali Facebooknya berhubung sebaran poster pelantikannya sebagai pengerusi Felda yang baharu menggantikan Idris Jusoh.
Sindiran ini susulan permohonan maaf ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya semalam selepas laman Facebooknya berkongsi dakwaan palsu terhadap Ahli Parlimen Seputeh itu.
“Permohonan maaf secara terbuka… posting (hantaran) tadi (semalam) bukanlah dari pihak Adun tetapi ‘admin’ yang mengelola ‘page’ (halaman),” kata wakil rakyat Kubu Gajah sejak 2018 itu.
Teresa berkata, Khalil tidak sepatutnya menolak tanggungjawab kepada pengendali akaun media sosial rasminya itu.
“Akuilah kesilapan sendiri, ini baru jiwa bertanggungjawab,” katanya di Facebook.
Felda menafikan terdapat sebarang pelantikan baharu bagi jawatan pengerusi yang kosong berkuat kuasa 30 Jun.
Teresa turut menafikan dilantik ke jawatan itu.
Jawatan pengerusi Felda kosong selepas Idris menerima keputusan daripada Pejabat Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada lantikan pengganti baharu.