Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Amalan menabung untuk ibadah korban semakin dibudayakan dalam masyarakat Islam malah ada yang menjadikannya tradisi keluarga.
Bagi suri rumah, Rosilawati Ngah, 45 tahun, dia gigih menyimpan RM70 setiap bulan, hasil jualan kuih-muih dan pulut kuningnya semata-mata untuk mengambil bahagian dalam ibadah itu.
“Saya menyimpan duit hasil jualan kuih untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban bersama saudara mara lain. Harga lembu makin mahal, saya menyimpan secara konsisten setiap bulan 50 hingga 70 ringgit. Insya Allah akan datang, saya teringin nak korbankan seekor lembu untuk saudara-mara yang lain kurang berkemampuan,” ujarnya.
Pendekatan sama turut diambil Hamidah Zakaria, 56 tahun.
Amalan terpuji itu dilakukan dengan mengetepikan sebahagian wang gaji yang diterimanya setiap bulan.
“Saya sangat sebak dalam masa yang sama sangat gembira dapat melaksanakan ibadah korban.
“Betullah kata orang, simpan sikit-sikit lama jadi bukit dan boleh bersama enam saudara mara lain menyembelih seekor lembu di Aidiladha tahun ini,” kata Pembantu Masyarakat di Tabika Kemas Beladau Kolam, Manir ini.
Rahsia menabung untuk mengerjakan ibadah korban itu turut dikongsi kepada saudara mara lain.
Menurut Mohammad Haziq Hassan, 22, dia juga akan cuba menabung untuk ibadah korban tahun depan.
“Saya baru sahaja bekerja dan akan turut menyimpan sebahagian gaji saya . Tahun depan teringin nak ambil bahagian.
“Insya Allah gaji yang kita dapat setiap bulan lebih berkat,” katanya.