Tumpuan :
Nasional

Sebahagian M40 & peniaga mikro layak terima minyak masak bersubsidi 

Oleh: Juliana Sharin & Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan melaksanakan subsidi bersasar bagi minyak masak paket dengan ketetapan baharu, iaitu menambah kategori penerima daripada golongan B40, kepada sebahagian kumpulan M40 dan peniaga mikro yang membabitkan 5.8 juta isi rumah.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh mendedahkan tindakan itu diambil berikutan dapatan pihaknya menunjukkan 60 peratus daripada 60 juta paket minyak masak digunakan peniaga mikro yang tidak tergolong sebagai penerima subsidi barangan itu.

“Walaupun kita tidak pernah meletakkan mereka sebagai penerima kuota minyak masak bersubsidi ini, tetapi selama ini kita tidak ambil tindakan. Kenapa? Sebab kita tahu mereka susah. Sebab itu kita tidak ambil tindakkan kita diamkan. Sebab kalau kita ambik tindakan ke atas mereka, mereka akan terpaksa beli minyak masak botol dan harga barang akan naik,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Penjelasannya itu juga bagi menafikan dakwaan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi berpunca daripada penyeludupan atau ketirisan.

Beliau turut menafikan dakwaan kekurangan bekalan barangan itu berpunca daripada aktiviti pembungkusan semula minyak masak paket kepada kemasan berbotol yang kemudian dijual pada harga lebih mahal di pasaran.

Ini kerana, katanya, tiada rekod berkaitan tindakan sedemikian dikenal pasti menerusi sistem Skim Penstabilan Harga Miyak Masak (eCOSS) yang memantau keseluruhan blok rantaian pembekalan minyak masak.

Beliau antara lain memaklumkan terdapat 151 kes kesalahan berkaitan bekalan minyak masak yang masih disiasat atau disita membabitkan nilai RM1 juta.

Loading...
Terkini